Children Are From Heaven : Positive Parenting Skills for Raising Cooperative, Confident, and Compass PDF Cetak E-mail
(Oleh:  HAFIZ FIRDAUS)
Judul buku: Children Are from Heaven : Positive Parenting Skills for Raising Cooperative, Confident, and Compassionate Children
Penulis: John Gray PhD
Penerbit: Quill



Berikut adalah ulasan buku serba ringkas kepada sebuah buku 'Children Are from Heaven : Positive Parenting Skills for Raising Cooperative, Confident, and Compassionate Children'.


Sebenarnya ulasan buku diusulkan oleh Sheikh Yaakub (Fikrah yahoogroup) ketika kami membincangkan tentang kebaikan isi kandungannya serta persamaan beberapa konsep positive-parenting dengan hadis-hadis Rasulullah SAW mengenai pendidikan anak-anak (tarbiyah ul-aulad). Kebetulan pula kami berdua adalah bapa-bapa amatur dan anak-anak pun hampir sebaya.

Sebenarnya sudah lama saya sering tertanya-tanya apakah kaedah membesarkan anak-anak yang terbaik. Saya juga tertanya-tanya bilakah pendidikan dimulakan? apa yang mahu dididik pada usia-usia tertentu? wajarkah sesetengah perkara didedahkan pada usia yang terlalu muda? Bagaimana cara terbaik kita menangani kerenah mereka? dan bermacam persoalan lagi.

Saya pernah membaca sebuah karya monumental Abdullah Nasih Ulwan yang bertajuk Tarrbiyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam) yang ternyata sungguh baik dalam melengkapkan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sesuai dengan fikrah Islami. Tetapi dari segi praktisnya penerapan ilmu-ilmu ini ternyata memerlukan pula skill-set lain yang berbeza. Saya melihat bahawa silabus-nya ada tetapi metod penyampaiannya tiada. Anak-anak kita pula adalah 'alien' dari planet lain yang melalui berbagai peringkat pembesaran mental, fizikal dan emosi - bermula dari bayi kepada mumayyiz kepada akil baligh dan seterusnya. Jantina pun berbeza yang kemudian membahagikan mereka kepada dua kategori yang berbeza. Satu kesilapan yang biasa kita lakukan ialah mendidik anak-anak sebagai mana kita mendidik orang dewasa. Ini adalah tidak tepat dan tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya, sedangkan Islam sendiri dari awal-awal lagi sudah membezakan antara kanak-kanak dan orang dewasa, mumayyiz (kanak-kanak) dan mukallaf (dewasa yang dibebani taklif syarie).

Pengarang buku ini ialah seorang ahli psikologi yang terkenal dengan bukunya 'Men are from Mars, Women are from Venus' (yang dijadikan salah sebuah buku rujukan untuk bidang komunikasi oleh Universiti Islam Antarabangsa). Kepakaran beliau memang diiktiraf dan cukup popular melalui siri buku-buku beliau dan seminar-seminar yang beliau anjurkan di serata Amerika.

Beliau menulis buku ini sebagai menjawab persoalan krisis keibubapaan yang melanda Amerika. Sebagaimana yang kita tahu fikrah liberalisasi Amerika telah melahirkan generasi rakyat yang jelas rosak jiwa dan akhlak dan setiap generasi melahirkan mereka yang lebih ganas dari generasi sebelumnya. Dan sudah tentulah generasi ini datangnya dari mereka yang melalui kegelapan dan ketidakseimbangan zaman kanak-kanak dan zaman remaja.

Buku ini membincangkan kaedah positive-parenting melalui 5 tajuk besar. Secara umumnya kandungan buku ini tiada yang bercanggah dengan ilmu-ilmu Islam malah terdapat beberapa teori penulis yang bertepatan dengan sunnah Nabi SAW, bezanya penulis mengetahuinya dari kajian dan pengalaman beliau sedangkan Nabi SAW mengetahuinya melalui bimbingan wahyu dari Allah SWT 1400 tahun dahulu. InsyaAllah akan saya sebutkan beberapa contoh nanti.

Lima tajuk besar buku ini ialah:
1. It's okay to be different. - Setiap manusia itu berbeza itu sunatuLlah, kanak-kanak pun begitu juga. Kesilapan kita ialah sering menganggap keupayaan anak-anak serupa dengan kita atau anak kita mesti sama dengan anak jiran atau anak rakan kita. Penulis memberikan tiga kategori kanak-kanak 'walker', 'runner' dan 'jumper'. Mengakui dan memahami setiap kanak-kanak itu berbeza adalah langkah pertama ke arah positive parenting.
2. It's okay to make mistakes. - Manusia belajar dari kesilapan, ini juga hukum Allah. Dari kesilapan kita belajar kesan dan implikasi dan bagaimana membetulkan kesilapan atau tidak mengulangi kesilapan. Anak-anak yang membesar tanpa mempelajari bahawa kesilapan itu lumrah sebenarnya akan cacat daya juang dan daya saingnya serta tidak akan bersifat kompetitif. Mereka akan sentiasa takut mencuba kerana takut salah.

3. It's okay to express negative emotions. - Sebagaimana emosi positif itu baik untuk dizahirkan begitu juga emosi negatif tetapi haruslah dengan suasana terkawal dan kaedah yang betul. Peranan ibubapa dalam positive parenting ialah untuk memantau dan mengawal emosi positif dan negatif anak-anak. Kesilapan biasa ibu bapa ialah menafikan emosi negatif anak-anak contohnya tidak boleh menangis, tidak boleh merajuk, tidak boleh menjerit sedangkan ini adalah cara kanak-kanak melepaskan geram secara tabi'i, mereka tidak tahu cara lain. Adalah tidak adil bila kita menafikan hak anak-anak ini sedangkan kita sendiri kadang-kadang pun akan marah, geram, bengang dan sebagainya.

4. It's okay to want more. - Bab ini menceritakan tentang bolehnya anak-anak untuk meminta lebih atau meminta sesuatu tetapi haruslah dikawal dan dipantau secara bijak oleh ibubapa.
5. It's okay to say no, but remember mom and dad are the bosses. - Bab terakhir ini membincangkan tentang bolehnya anak-anak untuk berbeza pendapat atau tidak bersetuju dengan ibubapa. Ibubapa pula mestilah sentiasa memberi peluang untuk anak-anak menyuarakan pendapat. Walaupun pendapat mereka tidak tepat tetapi itu tidak bermakna mereka tiada hak untuk memberi pendapat. Keputusan muktamad masih di tangan ibubapa. Menafikan anak-anak hak bersuara dan memberi pendapat akan melahirkan generasi yang taklid dan berfikiran tertutup yang tidak boleh keluar dari pendapat ibu bapa mereka, atau bila mereka sudah dewasa tidak mampu keluar dari pendapat arus-perdana atau common practices walaupun jelas salah dan tidak tepat.
Demikianlah 5 topik besar yang dapat saya ulas secara ringkas sahaja dan tidak dapat dituliskan kesemuanya, walaupun masih banyak lagi kandungan bermanfaat yang ingin saya kongsikan.

Beberapa amalan atau kaedah positive parenting yang dapat saya kaitkan dengan sunnah Nabawi, sebagaimana yang saya katakan di atas adalah seperti berikut.

1. Anak-anak tidak mengerti apa itu tanggungjawab sehinggalah berumur tujuh tahun. Ketika umur tujuh pun mereka cuma diperkenalkan dengan konsep tanggungjawab tetapi tidak perlu memikul apatah lagi dihukum sehingga proses tarbiyah yang beransur-ansur itu selesai. Solat adalah tanggungjawab besar dan Nabi SAW menyuruh anak-anak dimulakan bersolat ketika umur 7 tahun dan dirotan ketika umur 10 tahun (3 tahun tempohnya). Petunjuk ini sebenarnya adalah petunjuk terbaik yang telah Islam tunjukkan bila menyentuh soal tanggungjawab. Apakah ada tanggungjawab yang lebih besar dari tanggungjawab manusia menyembah Rabb-nya? Yang terbaliknya dengan amalan masa kini ialah kita merotan anak untuk setiap perkara SELAIN solat dan cuma menyuruh anak solat bila anak sudah 17 tahun atau bila tidak lama lagi sudah mahu menikah. Satu amalan tradisional yang menyalahi sunnah dan menyalahi positive parenting.

2. Anak-anak tidak dibanding-bandingkan dan dilayan sama-rata. Ini dapat kita lihat dari sikap Rasulullah SAW yang melayan cucunya Hassan dan Hussain. Rasulullah melayan mereka sama rata dan melayan mereka sebagaimana kanak-kanak gemar dilayan. Pernah suatu ketika Nabi SAW melihat seorang lelaki mencium anaknya tetapi tidak mencium anaknya yang seorang lagi dan Nabi SAW menegur sikap tidak adil lelaki tersebut. Pernah juga Nabi SAW memberi amaran kepada seorang lelaki mengaku tidak ada perasaan sayang terhadap anaknya dengan amaran "tidak disayangi Allah mereka yang tidak menyayangi..".

3. Anak-anak ada set of rules mereka yang tersendiri sebagaimana orang dewasa juga. Mereka hidup dalam dunia mereka yang jauh berbeza dengan realiti dan peraturan dunia orang dewasa. Salah faham yang sering kita lakukan ialah kita meletakkan standard yang begitu tinggi untuk anak-anak dan menganggap sebaik sahaja mereka mampu bercakap maka secara otomatik mereka mampu memahami logik dan peraturan orang dewasa. Ini adalah salah dan mustahil, sebaliknya ibu bapalah yang harus memahami dunia kanak-kanak dan memahami mengapa they behave the way they do. Inilah sebenarnya kaedah Nabawiyah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam sebuah riwayat yang masyhur iaitu bila cucunya (Hasan atau Husain) memanjat tengkoknya ketika Baginda sedang sujud dan Baginda tidak bangun dari sujud (begitu juga para makmum) sehinggalah cucunya itu selesai dan turun dari tengkuknya.
Akhir sekali, positive parenting yang diketengahkan dalam buku ini adalah alternatif kepada cara yang biasa kita lihat dan amalkan iaitu hard-parenting (ibubapa garang) dan soft-parenting (terlalu manjakan anak). Bukan kerana kita suka tetapi kerana kita tidak punya alternatif lain. Positive parenting tidak menjanjikan ibubapa atau anak-anak yang sempurna tetapi sebenarnya memudahkan ibubapa dalam memahami anak-anak, cuba menjadikan ibubapa 'coach' yang terbaik dalam membesarkan anak-anak dan mengajar bagaiman menggilap potensi dan bakat anak-anak yang sememangnya sudahpun Allah SWT tentukan.

Benarlah maksud 'Children are From Heaven' kerana anak-anak adalah amanah besar dari langit (Allah SWT) dan anak yang soleh adalah saham yang sudah pasti menguntungkan kita insyaAllah. Saya amat mencadangkan buku ini dimiliki oleh para ibubapa lain juga bakal ibubapa yang ingin mencuba kaedah Positive Parenting.

Salam Sayang strawberry..

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2009 - Strawberry Sebaik-baik Wanita - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template